Thursday, January 5, 2012

Peranan, Fungsi dan Tanggung Jawab PIBG


PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah organ penting kepada sesebuah institusi pendidikan rendah dan menengah. Fungsi dan tanggungjawab PIBG amat besar serta mencabar, ke arah meningkatkan akses, ekuiti, kecekapan, keberkesanan dan kualiti pendidikan negara yang lebih komprehensif, berwibawa serta bertaraf dunia.

Objektif dan visi PIBG hendaklah selari dengan Misi Nasional; Dasar Pembangunan Negara; Falsafah Pendidikan Negara (FDN); Dasar Pendidikan Negara (DPN); Pelan Integriti Nasional (PIN); dan prinsip Islam Hadhari.

Akta Pendidikan 1961 memperuntukkan bahawa PIBG adalah entiti utama dalam sesebuah sekolah dan asas penubuhannya termaktub dalam akta tersebut. PIBG berperanan sebagai rakan kongsi sekolah dalam menyelesaikan masalah, birokrasi dan isu yang timbul. Badan ini juga bertindak sebagai wadah, forum dan khidmat bakti untuk kemajuan serta pembangunan pelajar dan sekolah.

Ini turut meliputi sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah, akademik, disiplin, sistem pemantauan dan penilaian. Penekanan kepada kurikulum dan pentaksiran amat penting, termasuklah pemantauan maklumat dan komunikasi, penyelidikan dan pembangunan, kewangan serta infrastruktur sekolah.

Perlembagaan PIBG menetapkan bahawa keahlian badan ini hendaklah terdiri daripada setiap guru dan ibu bapa yang anak mereka menuntut di sekolah berkenaan. Institusi ini boleh bertindak melengkapkan prasarana keperluan fizikal sekolah dan murid seperti projek makmal komputer; penyediaaan akses jalur lebar SchoolNet ke sekolah; perpustakaan yang lengkap; program TV Pendidikan; pusat sumber yang mapan; kemudahan sukan dan rekreasi yang mantap dan berkesan; serta pelbagai inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lain.

Ini termasuklah kemudahan akses internet, paparan kristal cecair (LCD), kafe siber di sekolah dan lain-lain lagi yang mampu menyokong aspirasi kecemerlangan sekolah.

Inilah agenda dan misi yang sepatutnya menjadi matlamat serta perjuangan barisan kepimpinan dan pengurusan PIBG. Dan bukannya menjadikan PIBG sebagai platform politik murahan, gelanggang mengejar nama dan pangkat, medan mesyuarat ala kedai kopi atau perebutan jawatan demi kepentingan diri sendiri dan mempunyai agenda tersembunyi yang tidak memberi sebarang manfaat dan kebaikan kepada pembangunan sekolah dan masa hadapan pelajar.

Barisan kepimpinan PIBG juga hendaklah menginsafi dan dengan penuh tanggungjawab melaksanakan tugas dan amanah yang dipikul di bahu mereka.

PIBG yang bertindak sebagai entiti utama, membolehkan kelompok ibu bapa dan guru berkongsi dan bertukar pendapat serta maklumat mengenai pendidikan semasa dan method meningkatkan lagi prestasi akademik dan kokurikulum pelajar. Pembangunan modal insan perlu dengan tumpuan kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak, dan jati diri pelajar.

Ini bermatlamat melahirkan produk generasi pelajar yang berkualiti, bersepadu dan seimbang. Hasilnya produk pelajar tersebut kompeten dalam sains dan teknologi, inovatif, mampu bersaing di pasaran global, berdikari, kreatif serta kebolehpasaran dalam apa jua bidang dan jurusan yang diceburi mereka pada masa akan datang.

Sesi Persekolahan 2012

Persatuan Ibu Bapa Guru SK Peserian mengucapkan selamat kembali kesekolah buat semua warga SK Perserian. Moga tahun baru ini akan menambah iktizam untuk mencapai kecemerlangan...menjadi yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Tahniah kepada warga pendidik dan semua yang terlibat sehingga empat orang pelajar telah berjaya dengan mendapat keputusan 5A dalam UPSR 2011.

Tuesday, April 27, 2010

Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Kali Ke-34/2010




1. Mesyuarat Agung Tahunan PIBG 2010 ke-34 telah diadakan pada hari Jumaat, 23 April 2010 jam 2.30 petang di Kantin SK Peserian.

2. Perasmian MAT kali ini telah disempurnakan oleh En, Sinan bin Hj. Hassan (Pengurus Syarikat Ben Sugeh Sdn. Bhd.)

3. Beberapa usul telah dibentangkan.
Antaranya:
- Yuran PIBG dinaikkan, bersesuaian dengan keadaan dan keperluan semasa. (Disokong).
- Kelas tambahan yang ditangguhkan akan dijalankan semula dengan pekej bayaran yang akan dibincang kemudian.(Disokong).
- Penjualan Beg Sandang berharga RM 10.00, bertujuan mengisi Tabung PIBG akan dilaksanakan pada pertengahan tahuan 2010. (Disokong).

4. Dalam Pemilihan AJK untuk penggal 2010-2012 pula menyaksikan peralihan jawatan YDP PIBG SK Peserian. En. Baharudin bin Masron telah menggantikan Tn. Hj. Mohamed bin Hj. Idris. Semua AJK lama dikekalkan secara sebulat suara.

5. Bekas YDP Tn. Hj. Mohamed telah memberi ucapan penggulungan. Beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada YDP PIBG yang baru dilantik.

6. Cabutan Rezeki diadakan sebagai acara penutup. Majlis ditangguhkan pada jam 6.00 petang.

Wednesday, April 14, 2010

Pelancaran Blog `PIBG SK Peserian'

Salam sejastera.

1. PIBG SK Peserian telah menempuh satu era baru. Sejajar dengan ledakan teknoloji maklumat, Bolg PIBG SK Peserian telah selamat dilancarkan oleh YDP PIBG SK Peserian Tn. Hj. Mohamed bin Hj. Idris pada mesyuarat AJK pada 14.04.2010. Majlis disaksikan oleh AJK dan dibantu oleh Juruteknik ICT SK Peserian, En. Faiz.

2. Terima kasih kepada En.Nazri (Guru Muzik) yang banyak membantu membangunkan blog ini. Semoga blog ini akan menjadi wadah bagi Ibu bapa dan Guru untuk berkongsi maklumat dan pendapat agar PIBG Peserian lebih berdaya maju seiring dengan perubahan masa.

Monday, April 5, 2010

Sumbangan untuk PIBG SK Perserian

Salam sejastera dan salam 1 Malaysia

1. Dalam Mesyuarat AJK PIBG yang telah diadakan pada 12.2.2010, mesyuarat telah mengambil keputusan untuk AJK cuba mengumpul dana untuk mengisi tabung PIBG.

2. Antara cadangan yang akan dilaksanakan ialah memohon sponser dalam bentuk wang dan sebagainya dari bekas-bekas pelajar SK Perserian yang telah berjaya.

3. Biro Kewangan akan mendapatkan khidmat juruteknik komputer sekolah untuk memasukkan data bekas-bekas pelajar yang telah berjaya melalui `facebook' PIBG SK Perserian untuk mendapat sumbangan mereka.

4. Sumbangan juga boleh dibuat dengan menghubungi bendahari PIBG, En. Shaban bin Shuhod, no. tel. 07-4161819.

5. Sumbangan dari Dato'/Datin/Tuan/Puan adalah amat bermakna dalam meneruskan kesinambungan hubungan yang istimewa dengan pihak sekolah.